1. PENDAHULUAN
Kertas ini bertujuan memohon pertimbangan dan kelulusan Pengarah ke atas cadangan melaksanakan Kursus MyAgro Income Berasaskan Komuniti Tahun 2024 dengan kerjasama agensi dan tenaga pakar daripada institusi pendidikan tinggi awam/swasta/pihak tertentu yang berkaitan dan bersesuaian.
2. LATAR BELAKANG
2.1 Kursus MyAgro Income Berasaskan Komuniti adalah antara program yang diberi tumpuan di bawah Teras 2 Keusahawan : Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi yang dirangka untuk meningkatkan taraf hidup melalui peningkatan pendapatan penduduk luar bandar melalui aktiviti agrotani khususnya di kawasan luar bandar melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
2.2 Punca Kuasa: Melalui Bengkel Pemukiman KKDW 2024 yang telah dipengerusikan oleh YAB TPM dan Menteri KKDW pada 11 hingga 13 Januari 2024, bertempat di Hotel Pacific, Kuala Lumpur, memohon supaya INFRA memberi fokus aspek pertanian dalam konteks komuniti luar bandar.
2.3 Kursus ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti desa bagi menceburi bidang pertanian dan asas tani dalam meningkatkan pendapatan selain menjana peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.
2.4 Melalui kursus ini, peserta akan mendapat pengetahuan berkaitan pengenalan dan kemahiran pengurusan tanaman bermula daripada perancangan kewangan, pembangunan tapak, penjagaan hinggalah ke peringkat pengurusan hasil dan pemasaran.
2.5 Untuk memperkukuh INFRA sebagai pusat kecemerlangan latihan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), bidang latihan merupakan antara sasaran teras strategik dalam inisiatif INFRA CORE (Centre of Rural Excellence) bagi memperkasa peranan dan hala tuju sebagai pusat latihan luar bandar terunggul.
3. OBJEKTIF
Objektif Kursus MyAgro Income Berasaskan Komuniti ini adalah :
3.1 Meningkatkan pengetahuan asas mengenai pengurusan tanaman;
3.2 Memperoleh pengetahuan di dalam merancang kewangan projek tanaman;
3.3 Mengetahui peluang perniagaan dan pemasaran produk tanaman; dan
3.4 Mendapat pendedahan mengenai kaedah pengurusan hasil dan pemasaran hasil tanaman